arena

'Bottas serik bagi kucing hitam makan'

Oleh Agensi

London: Valtteri Bottas berharap tiada lagi nasib buruk menimpanya di Formula Satu selepas dua kali tayar jenteranya pancit ketika menyertai Grand Prix Bahrain.

Bottas bergelut di Litar Sakhir apabila merosot ke tempat keenam sebelum perlumbaan dihentikan susulan nahas ngeri membabitkan Romain Grosjean.

Walaupun 'dihadiahkan' tempat keempat selepas itu, masalah tayar pancit menyebabkan dia menjunam di tempat ke-16 dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan. Dia hanya mampu menyaksikan rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton menjulang trofi ke-11 musim ini.

Ia bukan kali pertama Bottas berdepan nasib buruk pada 2020 dan pelumba Finland itu berjenaka dengan berkata dia perlu berhenti memberi kucing hitam makan dengan harapan nasib buruk terhindar dalam hidupnya.

"Anda tahu, saya ada rumah di selatan Perancis dan terdapat seekor kucing hitam yang selalu datang setiap hari,'' kata Bottas. "Mungkin masalah mula timbul selepas saya memberinya makan dan nampaknya saya perlu hentikan!

"Jika saya senaraikan nasib tidak baik tahun ini yang berlaku ketika perlumbaan dan sesi latihan, ia akan menjadi senarai panjang. Tak pasti sama ada saya mahu ketawa atau menangis. Memang ada di antaranya yang saya tak mampu berbuat apa-apa dan saya tak percaya perkara karut. Saya hanya bergurau mengenai kucing itu..

"Mungkin kepada sesetengah orang nasib tidak baik berlanjutan agak lama dan mungkin hanya seketika. Saya harap tiada lagi nasib buruk menimpa saya selepas ini.''

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 3:03pm
d