arena

Federer tak sabar kembali beraksi

Oleh Agensi

London: Roger Federer terpaksa melupakan sebahagian besar saingan musim ini selepas mengalami kecederaan lutut kanan serius yang memaksanya menjalani pembedahan pada Jun lalu.

Selepas semakin pulih, juara Switzerland itu kembali berlatih selama sebulan dengan Terbuka Australia menjadi sasarannya.

"Pemulihan? Ia proses yang panjang, terima kasih pertanyaan itu. Saya rasa semakin baik, tidak dari hari ke hari tetapi minggu ke minggu. Saya nampak kemajuan besar,'' kata Federer yang memberikan perkembangan terkini situasi dirinya kepada peminat.

Baru-baru ini Federer menjelaskan bagaimana dia masih kekal bermotivasi untuk bertanding walaupun sudah dua dekad di jelajah. Legenda Switzerland itu dijangka kembali ke jelajah pada Januari 2021 selepas berehat 11 bulan.

Menurutnya, dia mampu melanjutkan karier hasil kerja keras di atas gelanggang seperti dilakukan ketika zaman mudanya tetapi kini ketika di penghujung karier, Federer lebih menumpukan kepada kualiti berbanding kuantiti latihan.

''Hanya perlukan perubahan dari segi perancangan skil dan juga kesabaran selain usaha gigih.

Saya rasa ketika pada peringkat awal ketika muda, anda lebih pentingkan jumlah jam,'' kata pemain nombor lima dunia itu. Anda perlu kekal fokus di atas gelanggang dan buktikan diri anda. Tetapi sudah tentu kualiti lebih penting berbanding kuantiti apabila anda semakin berusia.''

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 1:07pm
d