arena

Rehan digesa kemuka rayuan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang berfungsi memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.

Setiap tuntutan yang dibuat perlu mengikut akta dan peraturan sedia ada, bergantung kepada skim perlindungan yang dicarum.

Dalam hal melibatkan bekas atlet sepak takraw negara, Rehan Md Din, permohonan yang dibuat adalah untuk Pencen Ilat.

Justeru, permohonan perlu dilihat berdasarkan syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 yang boleh menerima faedah daripada caruman Perkeso berkenaan.

Demikian antara penjelasan dibuat oleh Ketua Bahagian Faedah Perkeso, Mohamad Fauzi Ja'afar merujuk kepada kekecewaan yang disuarakan oleh Rehan selepas permohonannya ditolak kerana dikatakan keadaannya kini bukan di bawah kategori sakit kronik.

"Seperkara lagi yang perlu diingatkan ialah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pihak yang menguruskan simpanan hari tua dan adalah entiti berasingan dan tiada kaitan dengan Perkeso dalam aspek syarat caruman untuk perlindungan keselamatan sosial.

"Rehan memohon pencen ilat dan Jemaah Doktor yang bersidang pada 2 November 2020 memutuskan bahawa kes Rehan sebagai tidak ilat. Kuasa untuk menentukan keilatan ini adalah mengikut kuasa di bawah Jemaah Doktor (JD) dan Jemaah Doktor Rayuan (JDR).

"Jemaah Doktor dilantik oleh menteri dan mereka adalah doktor dari hospital kerajaan yang dilantik di bawah Peraturan 79. Jadi, Perkeso tiada kuasa untuk mencampuri keputusan yang dibuat oleh Jemaah Doktor.

"Semakan mendapati Orang Berinsurans ini tiada membuat rayuan terhadap keputusan JD itu. Maka, Rehan boleh mengemukakan rayuan kepada JDR dalam tempoh 90 hari daripada keputusan JD," tambah Fauzi.

Menurut Fauzi lagi, setiap pencarum yang ingin memohon pencen ilat ini perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya, keilatan berlaku sebelum usia 60 tahun.

"Keilatan, dalam bahasa yang mudah untuk difahami adalah suatu keadaan hilang upaya di mana seseorang itu kehilangan dua pertiga daripada keupayaan asalnya untuk bekerja. Inilah yang diputuskan oleh JD atau JDR semasa sidang JD dengan berpandukan kepada Laporan Perubatan dan Fizikal Orang Berinsurans.

"Tapi tak mengapa kerana Perkeso sekarang ada Skuad Perkeso Prihatin dan Program Social Synergy yang akan mengambil tindakan terus sekiranya mereka mendapat maklumat ada pencarum yang berada dalam masalah.

"Bantuan atau faedah Perkeso sebenarnya tidak tertakluk hanya kepada wang tunai. Sekiranya ada pengesyoran daripada Jemaah Doktor, pencarum juga boleh dibantu menerusi Faedah Pemulihan. Perkeso memiliki pusat rehabilitasi yang berorientasikan teknologi yang bertaraf antarabangsa iaitu Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka.

"Program Social Synergy yang menyaksikan kerjasama Perkeso dengan 44 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Amanah Ikhtiar Malaysia, juga boleh membantu meringankan beban Rehan," kata Fauzi.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 8:50pm
d