arena

Yakeb sedia bantu Rehan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan membantu legenda sepak takraw negara, Rehan Mohd Din mengemukakan rayuan semula untuk memperoleh pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, beberapa usaha akan dilakukan pihaknya termasuk cuba mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

"Kami dimaklumkan permohonan Rehan untuk memperoleh pencen ilat sebelum ini ditolak. Apabila ia ditolak, kita boleh kemukakan rayuan. Kami perlu melihat keterangan surat daripada doktor panel dan daripada situ, kita akan buat tindakan susulan," katanya.

Jelas Noorul, Perkeso sememangnya perlu meneliti permohonan pencen ilat kerana ia khusus membabitkan seseorang yang mempunyai keadaan kehilangan upaya akibat beberapa perkara termasuklah terbabit kemalangan.

"Dalam kes Rehan, ia membabitkan masalah sakit jantung dan permohonannya agak sukar untuk diluluskan. Apapun seperti saya katakan tadi, kami akan cuba membantu semampu yang mungkin termasuklah menghantar surat kepada Menteri Sumber Manusia," katanya.

Ketua Bahagian Faedah Perkeso, Mohamad Fauzi Ja'afar menerusi laporan Arena Metro mengesahkan Rehan memohon pencen ilat dan Jemaah Doktor yang bersidang pada 2 November 2020 memutuskan bahawa kes Rehan sebagai tidak ilat.

Katanya kuasa untuk menentukan keilatan mengikut kuasa di bawah Jemaah Doktor (JD) dan Jemaah Doktor Rayuan (JDR).

Jemaah Doktor dilantik oleh menteri dan mereka adalah doktor dari hospital kerajaan yang dilantik di bawah Peraturan 79 dan Perkeso tiada kuasa untuk mencampuri keputusan yang dibuat oleh Jemaah Doktor.

Bagaimanapun katanya, Rehan boleh mengemukakan rayuan kepada JDR dalam tempoh 90 hari daripada keputusan JD.

Rehan sebelum itu meluahkan rasa terkilan apabila permohonan pencen ilat tidak diluluskan oleh Perkeso kerana dikatakan tidak mengalami sakit kronik.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 11:06pm
d