arena

Eain Yow tersingkir di Kaherah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor satu negara Ng Eain Yow memberi persembahan terbaik menentang pemain nombor 17 dunia, Omar Mosaad sebelum tewas pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Black Ball di Kaherah, Mesir, semalam.

Pemain nombor 27 dunia itu yang kini menjalani latihan di Bristol, England, tewas 8-11, 5-11 dan 6-11 kepada pemain Mesir itu pada perlawanan di Black Ball Sporting Club.

Ini merupakan kekalahan kali kedua Eain Yow terhadap pemain sama musim ini sejak Kejohanan Canary Wharf Classic di England pada Mac yang menyaksikan atlet negara itu kalah 7-11, 14-12, 11-8 pada perlawanan pusingan pertama.

"Permainan agak janggal buat saya sejak awal. Beliau agak tepat dan tidak membiarkan saya mengikut rentak saya, jadi saya kecewa. Saya rasa saya perlu lebih banyak fokus pada skuasy saya hari ini dan bukannya apa yang terjadi di gelanggang," menurut Eain Yow menerusi laman web kejohanan www.blackballsquashopen.com.

"Saya fikir saya melakukannya dengan baik, tetapi beliau terus mengasak daripada pukulan pertama. Beliau tidak beri saya peluang, apa yang saya boleh buat sekarang adalah melihat semula, cuba dan lakukannya dengan lebih baik," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Mosaad akan menentang rakan senegaranya, Ali Faraq pada perlawanan pusingan kedua pada Selasa.

Terdahulu, Faraq, pemain nombor satu dunia mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan Iker Pajares Bernabeu dari Sepanyol dengan 11-13, 11-3, 11-3 dan 11-7 pada satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 11:10am
d