arena

Guardiola pertahan Arteta

Oleh Agensi

London: Pep Guardiola percaya Mikel Arteta adalah pengurus paling tepat mengendalikan Arsenal walaupun berdepan permulaan mengecewakan bagi musim 2020-21 Liga Perdana.

Arsenal tewas kepada Burnley di Stadium Emirates untuk kekalahan keempat berturut-turut di tempat sendiri sekali gus rekod terburuk mereka sejak 1959.

Gunners kini menghuni tangga ke-15 dalam carta liga, 10 mata di belakang kelompok empat pasukan teratas dan hanya lima mata di atas zon penyingkiran.

Kemerosotan mendadak kelab kendalian Arteta yang juga bekas pembantu Guardiola di Manchester City itu menimbulkan tanda tanya selepas mereka menjuarai Piala FA musim lalu.

Tekanan kini makin memuncak ke atas pengurus itu yang gagal mendapatkan prestasi terbaik pemainnya dengan paling ketara ialah kapten mereka - Pierre-Emerick Aubameyang.

Penyerang itu yang mengikat kontrak baharu lebih lumayan hanya meledak dua kali dalam saingan liga musim ini manakala jaringan sendiri kali pertama dalam kariernya menghadiahkan kemenangan Burnley.

Ketika Aubameyang bergelut, Arsenal hanya menjaringkan 10 gol dalam 12 perlawanan liga, catatan terendah pada peringkat ini dalam tempoh 39 tahun.

Hanya Newcastle United, Burnley, Sheffield United dan West Brom mempunyai percubaan terendah (124) dan tepat ke sasaran (40) daripada Arsenal tetapi Guardiola tetap mempertahankan Arteta.

"Arsenal tidak mempunyai pengurus lebih layak daripadanya mengendalikan kelab tahun ini dan seterusnya,'' katanya kepada wartawan.

''Tak perlu saya beri sokongan kerana dia telah pun memiikinya dan tahu hakikat itu. Dia salah seorang pengurus terbaik pernah saya bekerjasama. Sudan tentu bertemunya secara terus - personalitinya, komitmen dan cintanya kepada kelab. Tanpa sayang kepada kelab, dia tidak mungkin berada di sini.

"Saya yakin dia mampu mengubah nasib Arsenal dan melakukannnya seperti yang dijangkakan ramai orang.

"Ada kalanya ketika kelab berada pada tahap tidak baik, ia perlukan waktu tetapi saya tahu di dunia ini orang fikir tak perlu itu semua.

"Jika saya sebahagian daripada lembaga pengarah Arsenal, saya tetap yakin kualiti Arteta dan kapasiti meletakkan kembali kelab pada tempatnya.''

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 8:08am
d