arena

Naomi sanjung pengaruh Serena

Oleh Agensi

Western Cape: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka kali pertama mencuri tumpuan pada Mac 2018 apabila menewaskan Daria Kasatkina untuk menjuarai gelaran pertama dalam kariernya di Indian Wells.

Malah Naomi telah mara ke dua final sebelum itu, di Hua Hin pada 2015 dan di Tokyo 2016 dengan menewaskan Jaroslava Shvedova dan Caroline Wozniacki.

Beberapa bulan selepas kejayaan di Indian Wells, Naomi mencipta sensasi apabila muncul pemain Jepun pertama menjuarai Grand Slam di Terbuka AS selepas mengejutkan pemain tuan rumah, Serena Williams dengan dua set pada final sekali gus menghuni kelompok 10 teratas buat kali pertama dan menamatkan musim dengan menjadi pemain nombor lima dunia.

Pada 2019 dia sekali lagi mencuri tumpuan di Terbuka Australia apabila menewaskan Petra Kvitova pada final dan menduduki tangga teratas ranking WTA.

Dia turut menjulang trofi Osaka dan Beijing pada penghujung tahun. Pada tahun ini yang terjejas teruk angkara koronavirus, Naomi kembali dengan kemenangan sekali lagi di New York apabila mengatasi pemain Belarus, Victoria Azarenka.

Bintang Jepun itu kerap menekankan kepentingan pengaruh figura seperti Serena Williams dalam karier tenisnya. Bapanya, Leonard Francois teruja mengajar anaknya bermain tenis selepas menonton Serena dan kakaknya, Venus beraksi di Roland Garros pada 1999 menerusi televisyen.

"Perlu saya katakan bahawa jika tidak kerana Serena, saya mungkin tak berada pada tahap sekarang dan saya percaya ramai orang akan memperkatakan perkara sama,'' katanya yang turut mara ke final Cincinnati tetapi terpaksa menarik diri ketika menentang Victoria.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 12:14pm
d