arena

Ronaldo tersenarai bersama Pele, Maradona

London: Cristiano Ronaldo berkata dia bangga apabila diberi penghormatan tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Dunia Sepanjang Zaman oleh France Football.

Majalah Perancis itu yang juga penganjur Ballon d' Or menyenaraikan kesebelasan impian itu semalam dengan superstar Juventus, Ronaldo tersenarai bersama Lionel Messi, Pele dan Diego Maradona yang meninggal dunia bulan lalu.

Bekas bintang Brazil Ronaldo, bekas kapten Milan Paolo Maldini, Xavi, legenda Bayern Munich Franz Beckenbauer, Lothar Matthaus, Cafu dan penjaga gol Lev Yashin melengkapkan senarai pemain.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu dalam reaksinya di Twitter berkata: "Saya teruja dan bangga menjadi sebahagian daripada kesebelasan terbaik sepanjang zaman oleh France Football."

"Pasukan impian yang sangat mengagumkan. Saya amat hormati mereka semua dan saya amat bangga diletakkan dalam kalangan mereka. Terima kasih!"

Ronaldo yang juga penjaring terbanyak Real Madrid menjulang lima trofi Liga Juara-Juara, tiga trofi Liga Perdana, menjuarai Euro 2016, dua gelaran Serie A dan cemerlang di La Liga.

Ronaldo meraikan penampilan ke-100 bersama Juventus dengan dua jaringan ketika menewaskan Genoa 3-1, kelmarin.

Bukan itu sahaja, malah Ronaldo muncul pemain pertama meraih 400 kemenangan dalam saingan lima liga utama Eropah abad ini.

Juara Serie A, Juve akan berdepan Atalanta pada Khamis ini dengan pemain berusia 35 tahun Ronaldo sudah pasti mahu menambah koleksi 10 jaringannya musim ini.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 2:53pm
d