arena

Murray dapat tiket wildcard

Oleh Agensi

London: Pemain Britain, Andy Murray mendapat tiket wildcard untuk menyertai Terbuka Australia yang ditangguhkan ke Februari depan.

Penyertaan itu disahkan selepas dua tahun dia beraksi dalam perlawanan yang hampir meragut karier profesionalnya di Melbourne.

Naib juara lima kali itu mengalami kecederaan pangkal paha yang serius ketika tewas lima set kepada pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut pada pusingan pertama kejohanan 2019.

Sebuah filem pendek mengenai perjalanan kariernya ditayangkan di skrin besar di Melbourne Arena selepas tamat perlawanan.

"Kami mengalu-alukan kehadiran semula Andy di Melbourne dengan tangan terbuka," kata pengarah kejohanan, Craig Tiley hari ini.

"Persaraannya adalah detik penuh emosi. Melihatnya kembali selepas menjalani pembedahan besar dan gigih memulihkan kecergasan untuk beraksi semula sudah pasti menjadi tarikan AO 2021."

Dengan berada di ranking ke-122 dunia, Murray tidak dapat menyertai kejohanan secara terus yang dijadual berlangsung pada 8 Februari.

Pemain berusia 33 tahun dari Scotland itu turut diberi wildcard untuk menyertai ATP di Delray Beach, Florida pada minggu pertama Januari.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 10:17pm
d