arena

Faiz tak kisah main di Liga M3

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Nak malu apa! Mungkin itu yang diluahkan bekas pemenang Anugerah Fifa Puskas 2016, Mohd Faiz Subri apabila mengakui tidak kisah beraksi dalam Liga M3 bersama Northern Lions Football Club (NLFC) musim depan.

Faiz, 33, yang dianggap bintang bola sepak negara berikutan kejayaan memenangi anugerah gol tercantik di Zurich, Switzerland akan membuat kemunculan semula dalam kancah liga tempatan dengan menjadikan liga divisyen tiga sebagai tapak kebangkitan.

Katanya, dia tidak kisah beraksi dengan NLFC di Liga M3 memandangkan persaingan untuk merebut tempat bersama pasukan di Liga Super dan Liga Perdana cukup sengit.

"Kita dapat tahu sekarang memang susah nak dapat pasukan, jadi dapat beraksi di liga bawah dah rasa bersyukur. Sebab kalau kita tengok pemain pun susah, kerana pasukan sekarang dah berkurangan dan pemain pula semakin ramai, dan pemain muda pun makin banyak.

"Jadi saya nak betul-betul kena berada pada tahap terbaik dan cuba kembali beraksi macam biasa dan cuba bangkit," katanya pada Majlis Projek Kasih Prihatin di Pulau Pinang, hari ini.

Dalam majlis itu, Faiz dijemput sebagai duta projek kebajikan bersama selebriti Cat Farish yang dianjurkan oleh Murtabak House Perda, The Parking Lot dan Puteri Ratu.

Menerusi program itu, Faiz dan ahli konvoi bergerak ke Georgetown untuk memberi bantuan makanan dan minuman kepada gelandangan di sekitar bandar itu.

Mengenai pembabitannya dalam program itu, dia gembira dapat menyumbang bakti kepada masyarakat yang memerlukan.

"Kita tolong setakat kita mampu walaupun kita tak seberapa. Janji matlamat dan gerak hati kita membantu golongan yang perlukan bantuan. Terima kasih kepada Murtabak House, Puteri Ratu dan Parking Lot, Alhamdulillah ia boleh membantu sikit," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 11:22pm
d