arena

PSG sah pecat Tuchel

Oleh AFP

Paris: Paris Saint-Germain mengesahkan pemecatan jurulatih Thomas Tuchel yang berada bersama kelab sejak Julai 2018 tetapi tidak menamakan penggantinya.

"Selepas analisis mendalam berdasarkan situasi semasa, Paris Saint-Germain membuat keputusan menamatkan kontrak Thomas Tuchel," menurut gergasi Perancis itu dalam kenyataan hari ini.

Pengendali dari Argentina, Mauricio Pochettino dilaporkan calon pilihan menjadi pengendali PSG seterusnya.

Spekulasi pemecatan Tuchel semakin hangat sejak minggu lalu. Dia mengendalikan PSG sebanyak 127 perlawanan dalam semua kejohanan dengan 95 kemenangan, 12 seri dan 20 kekalahan.

Selain itu Tuchel turut membantu kelab meraih dua gelaran Ligue 1 (2019, 2020) selain Piala Perancis dan Piala Liga Perancis pada 2020.

Pengendali berusia 47 tahun dari Jerman itu turut membawa PSG ke final pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara pada Ogos lalu namun tewas 0-1 kepada Bayern Munich.

Sementara itu, pengerusi PSG, Nasser al-Khelaifi turut menghargai sumbangan Tuchel.

"Saya berterima kasih kepada Thomas Tuchel dan petugasnya di atas komitmen yang ditunjukkan selama ini,'' kata Nasser.

"Thomas mengendalikan pasukan dengan kesungguhan berserta minat yang tinggi, kami sudah tentu akan mengingati detik indah bersama. Saya mengucapkan maju jaya kepadanya selepas ini."

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 6:00pm
d