arena

Kane dapat anak Tahun Baru

Oleh Agensi

London: Kedatangan Tahun Baru 2021 amat bermakna buat Harry Kane apabila isterinya, Kate selamat melahirkan anak lelaki malam tadi.

Dalam Instagramnya Kane menzahirkan kegembiraan dan bersyukur dengan kehadiran ahli keluarga terbarunya itu: "Anak lelaki saya yang comel baru sahaja tiba. Louis Harry Kane.

"Tiada yang lebih membanggakan saya selain isteri saya. Cara paling istimewa menamatkan 2020. Selamat Tahun Baru semua..."

Penyerang Tottenham itu dan isterinya Kate telah pun mempunyai dua anak perempuan, Ivy Jane berusia tiga tahun dan Vivienne Jane, setahun.

Kane, 27, menamakan anaknya, Louis sebaik sahaja kelahirannya pada penghujung hari 2020.

Rakan sepasukan England, Marcus Rashford antara orang pertama mengucapkan tahniah kepada Kane dalam Twitter.

Ia sambutan paling sempurna buat keluarga Kanes dan menyuntik semangat Harry berdepan cabaran 2021 terutama dalam karier bola sepaknya.

Selain komitmen keluarga yang semakin bertambah, Kane juga berharap dapat memacu kejayaan Spurs dan England.

Skuad Jose Mourinho masih lagi bersaing dalam empat kejohanan termasuk menentang Brentford dalam separuh akhir Piala EFL minggu depan.

Kane yang menyinar bersama Spurs menjaringkan sembilan gol dan mencipta sepuluh bantuan jaringan dalam 15 aksi Liga Perdana musim ini.

Dia turut mengetuai cabaran England yang dikendalikan Gareth Southgate bagi menghadapi Euro 2020.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 7:50am
d