arena

Sainz menang peringkat pertama Dakar

Oleh AFP

Bisha, Arab Saudi: Juara bertahan Carlos Sainz memenangi peringkat pertama Rali Dakar di Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kali kedua sejak perlumbaan itu berpindah dari Amerika Selatan.

Pelumba Sepanyol itu yang juga pemenang tiga kali Dakar menang dalam masa 3 jam 18 minit 56 saat meliputi jarak 277km di antara Jeddah dan Bisha menggunakan jentera Mini Buggy.

Sainz yang anaknya Carlos berlumba untuk Ferrari di Formula Satu, tamat dengan 25 saat di hadapan rakan sepasukan dari Perancis, Stephane Peterhansel selepas bersaing sengit.

Juara 13 kali, Peterhansel tampak hampir menjuarai peringkat pertama sehinggalah Sainz memintasnya pada penghujung perlumbaan.

Pelumba Czech, Martin Prokop (Ford) melengkapkan kedudukan podium pada hari pertama saingan manakala juara rali dunia sembilan kali, Sebastien Loeb ketinggalan 24 minit dan menyifatkan hari yang perlu dilupakan.

"Saya jarang mendapat keputusan peringkat yang teruk," keluh jaguh Perancis itu yang berdepan tayar pancit sebanyak tiga kali.

Dalam kategori motosikal, pelumba Australia, Toby Price memulakan misinya untuk meraih kejuaraan ketiga dengan bergaya apabila memenangi peringkat pertama dengan beza lebih satu minit ke atas pelumba Argentina, Kevin Benavides (Honda) dan rakan sepasukan dari KTM, Matthias Walkner dari Austria.

Tetapi hari pertama jelas sukar buat juara bertahan dari Amerika Syarikat, Ricky Brabec yang ketinggalan 20 minit di belakang Price selepas tersalah haluan pada awal perlumbaan.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 11:25am
d