arena

Pochettino tak sabar kendali PSG

Oleh AFP

Paris: Mauricio Pochettino sudah biasa beraksi bersama Diego Maradona dan Ronaldinho ketika era sebagai pemain dan hubungannya dengan seorang lagi bintang bola sepak global, Neymar bakal menjadi kunci kejayaan di Paris Saint-Germain.

Pengendali dari Argentina itu akan memulakan tugas sebagai jurulatih PSG minggu ini dengan misi utama mendapatkan prestasi terbaik daripada Neymar dan Kylian Mbappe serta maju setapak berbanding jurulatih sebelum ini, Thomas Tuchel.

Selepas dipecat ketika kontrak berbaki enam bulan, Tuchel tidak mungkin mudah dilupakan penyokong kelab Paris itu selepas membawa mereka ke final pertama Liga Juara-Juara dalam sejarah.

Pengendali dari Jerman itu turut menjulang dua gelaran Ligue 1 selain empat trofi domestik musim lalu manakala Pochettino tidak pernah memenangi trofi. Namun kemampuannya tidak boleh dipertikaikan.

Dia yang berusia 48 tahun dikenang oleh penyokong Tottenham Hotspur yang membawa kelab empat kali berturut-turut menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana dan layak ke final Liga Juara-Juara 2019.

Kini selepas segar berehat setahun, dia kembali ke kelab lamanya ketika menjadi pemain.

Pochettino yang pernah beraksi bersama Maradona di Newell's Old Boys dan berkongsi bilik dengan legenda Argentina itu ketika beraksi di tempat lawan adalah pemain pertahanan tengah di Parc des Princes antara 2001 dan 2003.

Dia membantu kelab menamatkan kedudukan di tangga keempat Ligue 1 pada musim pertama dan menjadi kapten pada Piala Perancis 2003 tetapi tewas kepada Auxerre.

Jentera serangan kelab itu diketuai Ronaldinho -- "rakan sepasukan hebat" yang dilabelkan Pochettino pada 2019 dan jurulatih baharu itu tahu apa yang diboleh dijangkakan.

"Kelab itu sentiasa mendapat tempat istimewa di hati saya,'' kata Pochettino susulan pelantikannya dengan kontrak sehingga penghujung musim depan.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 11:37am
d