arena

Espargaro dapat lonjakan semangat [VIDEO]

Oleh Agensi

London: Pelumba baharu Repsol Honda, Pol Espargaro menerima kejutan istimewa sekembalinya daripada berlatih di pergunungan Andorra apabila mendapati jentera RC213V bernombor 44 menunggunya di rumah.

"Saya hampir menangis!" kata Espargaro bersama motosikalnya di halaman rumah. "Wow. Saya sama sekali tak menyangka. Saya mahu menyimpannya di sini buat selamanya!"

"Nombor ini [44] tampak hebat. Saya bekerja keras untuk melihat nombor itu di sini. Ia mengagumkan.

"Motosikal ini dengan warnanya sentiasa menjadi pencabar utama dan itu sasaran kami."

Kini peluangnya terbuka luas. Bersama pasukan Honda yang menjuarai 20 gelaran 500cc/MotoGP menerusi Freddie Spencer, Wayne Gardner, Eddie Lawson, Mick Doohan, Alex Criville, Valentino Rossi, Nicky Hayden, Casey Stoner dan Marc Marquez - majoriti menggunakan jentera Repsol berwarna sama yang akan digunakan Espargaro musim ini.

Dengan kontraknya bersama KTM tamat secara rasmi pada 31 Disember ini, Espargaro boleh menyarung jersi pasukan baharunya untuk kali pertama.

"Saya impikan detik ini banyak kali. Memakai warna ini bersama jentera di sisi saya. Saya mungkin tidur sekali dengannya malam ini!

"Tanpa ragu-ragu, saya akan pasti mengingati saat ini."

Espargaro yang menggantikan Alex Marquez sebagai rakan sepasukan di samping juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez dijangka tampil kali pertama untuk ujian pembukaan pramusim di Sepang, Malaysia pada 19-21 Februari.

Dengan Marc Marquez tersisih akibar kecederaan lengan, 2020 menyaksikan Honda mengakhiri kempen tanpa sebarang trofi sejak musim 1981.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 2:30pm
d