arena

Guardiola yakin De Bruyne tetap bersama City

Oleh AFP

London: Pep Guardiola menjangkakan Kevin De Bruyne akan terus bersama Manchester City untuk tempoh jangka masa panjang walaupun laporan menyatakan rundingan kontrak pemain tengah Belgium terhenti.

Kontrak De Bruyne berakhir sehingga 2023 tetapi City telah pun menawarkannya kontrak baharu namun masih belum ditandatangani susulan dakwaan De Bruyne kecewa mengenai kenaikan gajinya sekarang yang berjumlah £280,000 (RM1.53 juta) seminggu.

De Bruyne yang dipilih Pemain Terbaik Tahunan PFA musim lalu dikatakan mahu kontrak baharu itu menepati statusnya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dunia selain menjadi penolong kapten kelab.

Walaupun berdepan isu itu, pengendali City, Guardiola kekal yakin masa depan De Bruyne di Stadium Etihad.

"Saya optimis dia akan kekal tetapi pada masa sama kami perlu hormati proses itu," katanya.

"Saya tak tahu apa yang berlaku kerana saya tak bercakap dengan Txiki (Begiristain), Pengarah Bola Sepak City.

"Tetapi dia tahu kami menghargainya, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi sebagai individu. Dia sangat penting kepada kelab. Saya tak bimbang tetapi apapun, keputusan di tangannya."

Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 8:49am
d