arena

Lapan pelumba TSG dapat tanah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Lapan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) termasuk bekas pelumbanya menerima 'durian runtuh' satu lot tanah kediaman daripada kerajaan negeri.

Selain pelumba adik-beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Saleh, turut menerima insentif ialah pelumba kebangsaan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Bekas pelumba pasukan bertaraf benua Asia itu, Muhammad Adiq Husainie Othman, Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Saiful Anuar Aziz dan Mohd Nor Umardi Rosdi turut mendapat insentif yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis memperkenalkan menaja dan pelumba TSG di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.

Dr Ahmad Samsuri berkata, penganugerahan tanah itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang mengharumkan negara dan Terengganu di mata dunia dalam sukan berbasikal.

"Penganugerahan tanah ini adalah komitmen daripada kerajaan negeri dengan mengambil kira pencapaian mereka bermula 2016 lagi selepas membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa dan kesannya melonjakkan lagi nama negeri dan memperkenalkan kepada pelabur.

"Justeru atas jasa dan pengorbanan mereka, maka wajar dihargai oleh kerajaan negeri dengan menyumbang satu lot tanah kepada lapan pelumba itu sekali gus mampu menaikkan lagi motivasi mereka dan juga atlet lain," katanya.

Dalam pada itu TSG menyasarkan kedudukan tiga teratas peringkat Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, sasaran itu dilihat realistik selepas terlepas banyak siri perlumbaan sejak tahun lalu berikutan wabak pandemik Covid-19.

Seramai 14 pelumba menjadi taruhan TSG dengan bekas pelumba sensasi Team Cycling Sapura (TSC), Nur Aiman Zariff kembali menyarung jersi negeri kelahirannya selepas tiga musim bersama pasukan itu.

Pelumba tempatan lain termasuk kapten, Mohd Zamri, Harrif, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek, Afiq Huznie Othman, Shahrul dan Nur Amirull Fakhruddin.

Manakala enam tonggak import musim lalu dikekalkan iaitu Goh Choon Huat (Singapura), Metkel Eyob (Eritrea), Carlos Quintero (Colombia), Artem Ovechkin (Rusia), Youcef Reguigui (Algeria) serta jaguh Panama, Robin Jurado Lopez.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 6:02pm
d