arena

Aaron Chia-Wooi Yik sedia 'bertempur'

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Masanya sudah tiba buat beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan mereka sudah bersedia beraksi buat kali pertama di kejohanan antarabangsa selepas 10 bulan hanya menghabiskan masa dengan latihan.

Esok seakan 'dunia baru' buat pasangan nombor satu negara itu apabila mereka bakal turun ke gelanggang untuk membuka tirai bagi saingan Yonex Terbuka Thailand.

Pasangan nombor satu negara itu akan memulakan kempen di Bangkok menentang rakan senegara yang juga gandingan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk aksi pusingan pertama.

Menurut Aaron sekarang masanya sudah tiba untuk mereka menterjemahkan semua yang dilakukan ketika sesi latihan.

"Sudah 10 bulan buat persiapan, kami percaya sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi di gelanggang," kata pemain kelahiran Melaka itu.

Ujarnya, mereka sangat teruja untuk kembali beraksi selepas sekian lama tidak menyertai sebarang kejohanan (akibat pandemik Covid-19).

"Kami fikir adalah lebih baik kami fokus satu demi satu perlawanan. Pada pusingan pertama pun kami sudah berdepan kawan sendiri dan ia bukan sesuatu yang mudah. Kami perlu fokus sepenuhnya," kata Aaron.

Laluan untuk Aaron-Wooi Yik bagi merekodkan kejuaraan sulung di pentas antarabangsa dilihat cerah selepas penarikan diri barisan pemain China dan Jepun selain pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Undian sebelum ini menyaksikan, Aaron-Wooi Yik dijangka membuat perhitungan dengan Marcus-Kevin sekiranya masing-masing layak ke suku akhir tetapi penarikan diri beregu dari Indonesia itu dijangka memberi kelebihan buat pasangan negara itu untuk mara ke final. Beregu nombor dua dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan antara pencabar utama bagi perebutan gelaran juara.

Sementara itu, Aaron berkata dia berpuas hati dengan langkah diambil penganjur bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai.

"Prosedur operasi standard (SOP) memang sangat ketat, tetapi kami faham. Sebagai contoh, sebaik tamat latihan, kami semua perlu terus bergerak keluar. Kalau latihan tamat jam 10.15, 10.15 kena tinggalkan tempat latihan. Jadi, kami perlu habiskan latihan lima minit lebih awal. "Di tempat penginapan pula, setiap orang diberikan satu bilik, penjarakan sosial sangat dititik beratkan," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 7:11pm
d