arena

Hamidin sedia pertahan jawatan Presiden FAM

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Selepas cemerlang memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai presiden sepanjang dua tahun lalu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan nasibnya kepada 20 ahli gabungan untuk 'diadili' dalam kongres pemilihan badan induk bola sepak itu pada 13 Mac ini.

Hamidin yang memenangi kerusi panas itu pada 2018 lalu dilihat berjaya membawa perubahan besar kepada imej FAM selain peningkatan mendadak skuad Harimau Malaya hingga muncul naib juara Piala AFF 2018 selain menduduki tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika ini.

Jelas Hamidin, beliau mengakui sedia untuk dicalonkan untuk mempertahankan jawatannya itu bagi penggal baharu dari 2021-2025.

Katanya lagi, masih banyak misi yang belum selesai termasuk pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya.

"Saya ingin memaklumkan yang saya sedia dicalonkan untuk calon Presiden bagi tempoh 2021-2025. Pencalonan akan bermula esok, jadi saya bersedia kalau ada yang nak mencalonkan saya.

"Saya fikir ada beberapa elemen, untuk saya bertanding ini pun saya tak tahu orang suka saya atau pun tidak. Antara itu banyak lagi beberapa misi saya yang masih belum selesai tentang Wisma FAM, Pusat Latihan Kebangsaan dan lain-lain.

"Saya akur dengan pandangan semua rakan dari exco dan ahli gabungan. Itu pun saya sedia dicalon, kalau tak ada pun tak apa," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-12 bagi sesi 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM, hari ini.

Pada pemilihan 2018 lalu, Hamidin dilantik sebagai Presiden FAM ketujuh bagi baki penggal 2017-2021 bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Kongres FAM ke-54.

Bekas Setiausaha Agung FAM itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya iaitu bekas Presiden Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi membuat keputusan menarik diri.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 10:04pm
d