arena

Pelumba pelapis negara tetap Eropah

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perancangan untuk menghantar pelumba pelapis negara menyertai Kejuaraan CEV Repsol di Eropah akan tetap diteruskan biarpun kebanyakan penganjuran sukan permotoran di negara ini terpaksa dibatalkan.

Pelumba pelapis negara yang kini giat menjalani latihan fizikal dijadualkan berlepas ke Sepanyol Mac ini dan ia sudah pun dibincangkan dengan Kementerian Belia dan Sukan bersama pihak imigresen berhubung kebenaran untuk mereka ke luar negara.

Ia dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif dalam satu sidang media secara maya hari ini.

Tahun lalu seramai tiga pelumba pembangunan negara terbabit dalam saingan CEV iaitu Adam Norrodin yang beraksi dalam saingan Moto2, Syarifuddin Azman di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia manakala Muhammad Sharul Ezwan Sharil mewakili negara dalam saingan European Talent Cup (ETC).

Mengakui terkesan dengan pandemik Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri yang mana segala program terpaksa ditangguhkan, Shafriman mengakui ia satu kerugian buat SIC namun tidak mempunyai pilihan.

"Dari segi kewangan memang ia satu kerugian buat SIC kerana kami sudahpun bekerjasama dengan KBS, MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) membentangkan SOP untuk gelembung sukan.

"Tapi kita tidak mempunyai pilihan. Termasuk membatalkan sesi ujian rasmi musim sejuk MotoGP. "Namun jika negara sudah kembali ke PKPB atau PKPP mungkin semua yang dirancangkan boleh dilangsungkan semula mengikut SOP yang dibenarkan," katanya. Terdahulu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, sesi ujian rasmi musim sejuk MotoGP yang dijadualkan di SIC dari 19 hingga 21 Februari ini dibatalkan.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan Dorna Sports bahawa keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Dalam perkembangan sama, Shafriman turut tidak mampu memberi jaminan sama ada saingan MotoGP di SIC akan tetap berlangsung mengikut jadual atau sebaliknya.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 9:26pm
d