arena

Hadi guna jersi nombor 27

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penyerang negara yang berkelana di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak diperkenalkan secara rasmi sebagai antara 10 pemain baharu kelab J3 League, Azul Claro Numazu untuk aksi musim 2021.

Hadi akan menggunakan jersi bernombor 27 untuk pasukan baharunya itu sebagai simbolik menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, sebelum ini dia menggunakan jersi bernombor 28 ketika bersama pasukan Fagiano Okayama sekali gus mahu membuka lembaran baharu dengan mencipta lebih banyak kejayaan bersama kelab terkininya itu.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ini bagi menghargai peluang yang telah diberikan bersama pasukan ini. Saya tidak sabar memulakan aksi bersama pasukan Numazu dan mengharapkan segala yang terbaik bagi musim 2021 ini.

"Saya memilih jersi bernombor 27 selepas mendapat nasihat daripada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang mencadangkan kepada saya untuk memilih nombor ini sebagai simbolik yang saya sudah jadi lebih baik daripada sebelum ini.

"Oleh itu, saya mengharapkan akan dapat beraksi bersama pasukan ini dan mengumpul minit bermain dengan lebih banyak," katanya hari ini.

Fagiano yang beraksi di divisyen dua terpaksa meminjamkan Hadi untuk bermain di liga ketiga Jepun yang akan memberikan pengalaman baharu buatnya selain membuka peluang beraksi. Keputusan untuk meminjamkan Hadi dibuat selepas perbincangan di antara penyerang tinggi lampai itu serta pihak Yakult Malaysia dan Fagiano.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 6:02pm
d