arena

Kontrak baharu tak lama lagi

Oleh Agensi

London: Juara dunia F1, Lewis Hamilton memberi bayangan kemungkinan akan ada pengumuman mengenai masa depannya tidak lama lagi ketika dia masih meneruskan rundingan dengan Mercedes.

Pemandu Britain itu kini menjadi ejen bebas selepas kontrak £40 juta (RM221 juta) semusim tamat pada 31 Desimber lalu. Bagaimanapun, dijangkakan Hamilton yang berusia 36 tahun pada 7 Januari lalu akan menyambung semula kontraknya bersama pengeluar dari Jerman itu. Difahamkan, kedua-dua pihak berunding sejak beberapa minggu lalu tetapi tempoh kontrak baharu menjadi fokus utama dengan laporan menyatakan pemandu yang memecah rekod itu hanya ditawarkan perjanjian setahun dengan pasukan Silver Arrows.

Bagaimanapun, dengan hanya dua bulan sebelum bermula musim F1 2021 di Bahrain, Hamilton tetap memastikan dirinya kekal sihat dan berkongsi pelan kecergasan dengan pengikut di Instagram.

Dalam video terbarunya di Colorado tertera kapsyen: ''Hai dunia, saya berada di sini agak lama. Saya di kawasan pergunungan untuk jalani latihan setiap hari, rilekskan minda dan tubuh kekal cergas.

''Saya daki ke puncak gunung setiap pagi. Satu daripada tiga daripadanya saya gunakan ski apabila tiba pada tahap 3400 meter, agak sengsara. Saya sukakan latihan di kawasan tanah tinggi.

''Semakin kurang oksigen, jadi latihan agak sukar berbanding pada paras laut. Menaiki tangga anda dapat merasakannya pada tahap 2000 meter.

''Biasanya apabila tamat latihan di sini saya akan turun ke paras laut dan berlari dengan segar. Saya cuba mencari keseimbangan kardio dan proses kekuatan. Banyak anggota bergerak tetapi saya beritahu anda, saya dalam keadaan bagus, sihat dan kuat mental.

''Saya harap anda kekal positif dalam suasana yang masih tidak menentu. Teruskan kehidupan dan saya tak sabar bertemu anda semua tak lama lagi.''

Mercedes berkata mereka tidak bimbang dengan spekulasi juara dunia tujuh kali itu enggan meneruskan komitmen bersama pasukan tetapi kini ia situasi 'luar biasa' kerana selalunya kontrak diselesaikan pada Ogos.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 9:41pm
d