arena

MTBC sedia bantu Ratu Boling

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sentiasa bersedia membantu bekas atlet negara, Shalin Zulkifli selagi termampu.

Dengan apa yang pernah disumbangkan Shalin, MTBC mengakui Shalin antara pemain terbaik pernah dimiliki skuad negara.

Justeru, Setiausaha Agungnya, Maradona Chok berkata, selagi MTBC boleh membantu, mereka tetap menghulurkan bantuan diperlukan.

Mengulas mengenai gelaran Datuk, Maradona berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada mereka yang bertanggungjawab. Ini kerana hal itu membabitkan urusan dengan kerajaan negeri masing-masing.

"Selagi boleh, kami bantu dia. Namun jika ia membabitkan hal kewangan ia perlu mendapatkan kelulusan ahli gabungan kerana dana diberikan untuk pembangunan skuad kebangsaan.

"Namun ketika ini saya dimaklumkan dia ingin menyambung pelajaran, tapi tak pasti di universiti dalam negara atau luar," katanya.

Justeru jika diambil kira gelaran diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei mahupun Datuk Nicol David, kedua-dua mereka menerima darjah kebesaran itu daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dengan Shalin dibesarkan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam perkembangan sama Maradona berkata, Shalin memaklumkan dia ingin menyambung pelajarannya di peringkat sarjana sama ada di universiti luar negara atau di dalam negara.

Justeru tiada sebarang tawaran diberikan kepada Shalin berhubung tugas sebagai jurulatih atau sebagainya.

Sementara itu, Shalin ketika satu temu bual berlangsung memaklumkan dia tidak mengharapkan gelaran berkenaan.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 6:00am
d