arena

Man City cemas, Arsenal tersingkir

Oleh AFP

London: Manchester City berdepan detik cemas ketika menentang Cheltenham dalam aksi Piala FA sebelum menang 3-1 awal pagi tadi manakala Southampton menyingkirkan juara bertahan Arsenal daripada kejohanan.

Juara enam kali City hanya beberapa minit daripada tersingkir di pusingan keempat sebelum jaringan Phil Foden, Gabriel Jesus dan Ferran Torres meranapkan impian skuad Liga Dua itu.

Pengendali City, Pep Guardiola melakukan 10 pertukaran dalam kunjungan ke barat daya England tetapi skuadnya tetap diperkuatkan dengan pemain antarabangsa.

Pasukan tuan rumah yang berada 72 tangga di bawah City dalam piramid bola sepak mempamerkan pertahanan kental tetapi sekali sekala mampu menggugat kubu pelawat.

Percubaan Jesus terkena tiang sejurus babak kedua bermula ketika City meningkatkan serangan selepas kebuntuan jaringan pada babak pertama tetapi tuan rumah yang berjaya mendahului permainan.

Pelawat gagal mengekang lontaran jauh Ben Tozer dan Alfie May meledak gol dari jarak dekat ketika permainan berbaki setengah jam.

Guardiola kemudiannya memasukkan Ilkay Gundogan dan Joao Cancelo dan percaturan berhasil apabila Foden menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi rembatan selepas mendapat hantaran Cancelo.

Tiga minit kemudian, Jesus menebus kesilapan pada babak pertama dan Torres menjadikan kedudukan 3-1 pada lewat perlawanan selepas mendapat hantaran Gundogan.

"Kami datang ke sini dengan rendah hati tetapi mempunyai kualiti untuk menjadikan ia berbeza," kata Guardiola.

"Mereka menggunakan kualiti mereka dalam kotak penalti, mereka lebih tinggi dan lebih baik daripada kami. Sukar mengawal situasi itu.''

Jurulatih itu turut memuji Foden yang muncul penjaring terbanyak kelab dalam semua kejohanan musim ini.

"Phil Foden dalam keadaan terbaik dan berkeyakinan tinggi,'' katanya. "Dia memang tajam di depan gol.''

Pengurus Cheltenham, Michael Duff berkata dia amat bangga dengan pemainnya yang beraksi tanpa penyokong susulan pandemik koronavirus.

Dalam perlawanan awal, Arsenal yang menjuarai kejohanan itu dengan rekod 14 kali tewas 0-1 di Southampton hasil jaringan sendiri Gabriel.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melakukan tujuh pertukaran daripada skuad yang menewaskan Newcastle 3-2 dalam aksi liga dengan Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain tengah Emile Smith Rowe tidak beraksi.

Southampton, juara Piala FA pada 1976, mendahului pada minit ke-24 apabila hantaran Kyle Walker-Peters tertampan ke gawang sendiri oleh Gabriel.

Pelawat hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Eddie Nketiah namun tersasar.

"Kami impikan mengulanginya seperti tahun lalu (juarai Piala FA) dan hari ini ia berakhir,'' kata Arteta.

"Saya sangat kecewa dengan cara kami melepaskan gol dalam kawasan itu tetapi pada masa sama saya tak boleh salahkan pemain."

West Ham pula membelasah Doncaster 4-0 manakala Brighton menang 2-1 ke atas kelab Liga Satu, Blackpool.

Swansea menewaskan Nottingham Forest 5-1, Bristol City mengatasi Millwall 3-0 dan Barnsley mengejutkan pendahulu Liga Kejuaraan, Norwich 1-0.

Sementara itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Aston Villa menewaskan Newcastle 2-0 di tempat sendiri hasil jaringan Ollie Watkins dan Bertrand Traore, awal pagi tadi.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 7:45am
d