arena

Milan kekal pendahulu walaupun tewas

Oleh AFP

Milan: AC Milan kekal di puncak Serie A walaupun tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Atalanta selepas pencabar terdekat, Inter hanya seri tanpa jaringan di Udinese.

Skuad Stefano Pioli, Milan kini hanya dua mata di depan Inter namun mengekalkan kedudukan pendahulu ketika saingan memasuki pertengahan musim buat kali pertama sejak menjuarai liga pada 2011.

"Menjadi juara musim sejuk tidak bermakna bagi saya, kini kami perlu bangkit,'' kata bintang Milan, Zlatan Ibrahimovic.

"Sekarang fasa lebih sukar bermula."

Milan lesu di tempat sendiri dengan pemain Atalanta, Cristian Romero menanduk masuk gol pendahuluan pada minit ke-26 di San Siro.

Josip Ilicic menambah gol kedua menerusi penalti lapan minit selepas rehat apabila mukanya disiku Franck Kessie.

Ibrahimovic terlepas peluang merapatkan kedudukan sejurus sebelum rehat namun percubaan jarak dekat pemain veteran Sweden itu tersasar.

Pemain baharu Milan, Mario Mandzukic dimasukkan pada 20 minit terakhir namun gagal menembusi gawang pelawat walaupun beberapa kali menggugat penjaga gol Atalanta, Pierluigi Gollini.

Penyerang Colombia, Duvan Zapata mengesahkan tiga mata pelawat ketika permainan berbaki 15 minit selepas cemerlang menyudahkan hantaran Romero.

Buat kali pertama musim ini, Milan gagal menjaringkan gol selain kekalahan kedua dalam kempen selepas tewas kepada Juventus awal bulan ini.

Atalanta pula mara ke tangga keempat, tujuh mata di belakang pendahulu dan hanya dua mata di belakang Roma yang menewaskan Spezia 4-3.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 8:56am
d