arena

Kami pasti bangkit - Klopp

Oleh AFP

London: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menegaskan kemerosotan prestasi skuadnya sejak akhir-akhir ini tidak akan berlarutan sebaliknya akan ditebus apabila berdepan Manchester United dalam saingan Piala FA awal pagi esok.

Skuad Klopp berkunjung ke Old Trafford selepas dikejutkan Burnley yang mengakhiri rekod 68 perlawanan tanpa kalah Reds dalam aksi liga di tempat sendiri.

Perlawanan itu yang keempat berturut-turut tanpa sebarang gol buat juara Liga Perdana dan kini enam mata di belakang pendahulu dan musuh tradisi, United.

"Kami tewas dengan Burnley dan ia benar-benar mengecewakan," kata Klopp. "Apabila saya fikir semula saya tak nampak kenapa boleh tewas tapi kami tewas. Ia berlaku dan kadang-kadang anda perlu bangkit daripada kekecewaan untuk mengubah keadaan seperti biasa dan itu sudah pasti."

''Kami akan melakukannya. Jika kami menang dalam aksi buruk, dunia akan berkata, 'Ok, ia bukan bola sepak yang biasa dipamerkan tetapi mereka kembali mendapat keputusan, tetapi dari segi jangka panjang ia tidak membantu.

"Ia benar-benar membantu jika kami memanfaatkannya. Saya boleh bayangkan apa yang difikirkan kebanyakan orang mengenai kami ketika ini.

"Tetapi orang ramai tidak berubah dalam masa sehari. Mereka kadang-kadang berdepan cabaran yang mereka belum sedia hadapinya dan mungkin anda tak tahu apa cabaran akan datang.

"Tetapi ia cabaran yang anda tak mahu hadapi. Apatah lagi dalam situasi kami hadapi sekarang. Mereka (pemain) masih lagi cemerlang dengan karakter hebat. Semua sekali. Merekalah yang membawa kejayaan sejak beberapa tahun lalu dan mereka tidak berubah semalaman."

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 9:31am
d