arena

Tiga pemain enggan mengalah selaku pendahulu

Oleh AFP

Los Angeles: Max Homa mencatat tujuh bawah par 65 untuk berkongsi kedudukan pendahulu bersama dua lagi pemain menjelang pusingan akhir Kejohanan PGA Amerika Syarikat American Express di California, awal pagi tadi.

Homa yang memburu kejuaraan kedua Jelajah PGA dalam kariernya selepas menang di Wells Fargo 2019, membenam sembilan birdie untuk menamatkan saingan dengan 15 pukulan di samping Tony Finau dan pemain Korea Selatan, Kim Si-woo.

Homa yang berusia 30 tahun sepatutnya boleh bersendirian selaku pendahulu jika tidak kerana bogey berganda di par empat di PGA West Stadium Course di La Quinta, California.

Namun dia bangkit cemerlang yang menyaksikan pemain nombor 103 dunia itu membenam empat birdie berturut-turut di lubang ke-2, 3, 4 dan 5.

Manakala pemain Korea, Kim menyertai pendahulu menerusi bogey bebas lima bawah par 67.

Pemain berusia 25 tahun dari Seoul itu melonjak ke kelompok teratas selepas membenam birdie di lubang ke-14 sementara pemain nombor 22 dunia, Finau yang ketinggalan selepas melakukan bogey berganda bangkit lewat untuk berkongsi kedudukan pendahulu.

Pemain berusia 31 tahun dari Salt Lake City yang mendahulu hari pertama membenam birdie di lubang 4, 5, 7dan 8 untuk catatan tiga bawah.

Birdie seterusnya di lubang ke-11 membolehkan Finau mencatat empat bawah tetapi terkandas di par 12 apabila pukulan tee jatuh ke dalam air.

Kesilapan itu membawa kepada bogey berganda tetapi Finau bangkit bergaya dengan tiga birdie berturut-turut untuk menyertai kelompok pendahulu saingan.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 11:42am
d