arena

Dumoulin lupakan basikal, mahu rehat

Oleh Agensi

London: Bekas juara Jelajah Utama, Tom Dumoulin mahu berehat seketika daripada sukan berbasikal.

Pelumba Belanda itu membuat keputusan mengejut semalam hanya beberapa hari selepas pasukannya, Jumbo-Visma mengumumkan program perlumbaan untuk musim ini.

Dumoulin dijangka berperanan sebagai pembantu rakan sepasukan, Primoz Roglic di Jelajah Perancis tahun ini selepas pasukannya tewas dramatik tahun lalu kepada Tadej Pogacar.

"Saya benar-benar perlukan masa untuk memikirkannya," kata Dumoulin yang berusia 30 tahun.

"Sudah terlalu lama saya mengambil berat apa yang difikirkan setiap orang,'' katanya yang akan mengambil cuti tanpa gaji daripada pasukan. "Saya rasa tekanan lebih sukar daripada yang dijangkakan."

Dumoulin mula mencuri tumpuan selepas menjuarai Giro d'Italia 2017. Namun paling diingati apabila dia terpaksa berhenti seketika di pertengahan perlumbaan akibat masalah perut tetapi masih mampu memenangi jersi merah jambu keseluruhan.

"Anda tanya diri anda: Apa yang anda mahu. Adakah masih lagi menjadi pelumba basikal? Sekarang saya berasakan seperti tidak tahu lagi apa patut dilakukan."

Beberapa hari sebelum pengumuman itu, pasukan Dumoulin, Jumbo-Visma mendedahkan pelumba yang akan mengetuai cabaran pada perlumbaan terbesar musim ini dengan Dumoulin berperanan sebagai pembantu dalam kebanyakan perlumbaan.

Sementara itu, pelumba muda Jumbo-Visma, Wout van Aert menandatangani kontrak lanjutan dengan pasukan sehingga 2024. Pelumba Belanda itu menjuarai perlumbaan Milan-San Remo tahun lalu selain dua peringkat Jelajah Perancis.

Juara dunia lebuh raya 2018, Alejandro Valverde pula mengumumkan persaraan pada penghujung musim 2021. Pelumba Movistar Sepanyol berusia 40 tahun itu menjuarai bebarapa perlumbaan sehari dan Vuelta a Espana 2009.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 12:48pm
d