arena

Giliran Sousa tarik diri

Oleh Agensi

Lisbon: Pemain tenis Portugal, Joao Sousa berkata dia tidak akan datang ke Melbourne untuk menyertai Terbuka Australia walaupun bebas Covid-19 susulan protokol ketat kerajaan Australia yang mewajibkan pemain menjalani kuarantin 14 hari.

Seramai 72 pemain kini berkurung di bilik masing-masing menjelang Grand Slam di Melbourne bermula 8-21 Februari selepas beberapa kes positif berlaku dalam tiga penerbangan yang membawa pemain ke Australia.

Sousa berkata dia diuji positif Covid-19 tanpa gejala sebelum penerbangan tetapi pada ujian seterusnya didapati negatif.

"Walaupun saya negatif dan tiada simptom, tetapi peraturan ketat kerajaan Australia menyebabkan saya tak dapat terbang ke sana,'' kata Sousa dalam Instagramnya.

Sousa tidak pernah gagal layak ke undian utama Grand Slam sejak 2013 apabila dia tersingkir pada pusingan kelayakan Wimbledon.

Pemain berusia 31 tahun itu menyertai bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray menarik diri daripada Grand Slam pertama itu selepas positif virus.

Pihak berkuasa Victoria semalam melaporkan satu kes baharu berkaitan dengan kejohanan, seorang lelaki berusia 20-an tetapi bukan pemain.

Lebih dari 1,000 pemain dan kakitangan tiba di Australia dengan 17 pesawat khas minggu lalu, dengan kes pertama di kesan menerusi penerbangan itu.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 2:55pm
d