arena

Barca menang lagi tanpa Messi

Oleh AFP

Madrid: Barcelona menang sekali lagi tanpa Lionel Messi selepas jaringan Frenkie de Jong dan Riqui Puig menewaskan Elche 2-0 dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

De Jong menolak bola di atas garisan sejurus sebelum rehat di Martinez Valero sebelum Puig yang masuk sebagai pemain gantian menanduk gol kedua pada lewat permainan.

Walaupun mempamerkan aksi hambar, Ronald Koeman tetap lega menyaksikan Barca meraih dua kemenangan berturut-turut tanpa Messi dan sejak tewas pada final Piala Super Sepanyol kepada Athletic Bilbao. Barca menewaskan Cornella dalam masa tambahan pada pertengahan minggu lalu.

Messi masih lagi menjalani hukuman selepas dibuang padang ketika menentang Seville tetapi bintang Argentina itu boleh beraksi pada saingan Copa del Rey di Rayo Vallecano.

Tempatnya diambil alih De Jong yang kembali mendapat momentum sejak beberapa minggu lalu. Gol pertama boleh dianggap antara jaringan paling mudah baginya dan mencipta bantuan jaringan kedua menerusi hantaran yang ditanduk Puig.

"Kami lebih baik tahun ini. Kami perlu beraksi semua perlawanan di tempat lawan dan di La Liga kami menang semuanya, jadi saya fikir, kami melakukannya dengan baik,'' kata De Jong. "Bagi saya, beraksi dengan baik bukan sahaja mengenai jaringan dan bantuan tetapi sudah tentu saya gembira dapatkan gol dan membantu satu lagi hari ini. "

Kemenangan itu melonjakkan Barca ke tangga ketiga La Liga, tiga mata di belakang Real Madrid dan tujuh mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid yang berkelebihan dua perlawanan.

Elche pula kekal di tangga ke-19 tanpa kemenangan sejak Oktober lalu.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 6:48am
d