arena

WTA anjur kejohanan eksklusif

Oleh Agensi

Melbourne: WTA bakal menganjurkan kejohanan eksklusif untuk pemain yang tidak dapat meninggalkan bilik mereka ketika menjalani kuarantin bagi menghadapi Terbuka Australia.

Undian 28 pemain bermula 3 Februari dengan kebenaran diberikan kepada pemain untuk berlatih empat hari sebelum kejohanan utama.

Victoria Azarenka, Bianca Andreescu, Angelique Kerber dan pemain Britain, Heather Watson antara yang layak menyertainya manakala kejohanan ATP yang dijadual berlagsung seminggu sebelum Terbuka Australia ditunda 24 jam.

72 pemain kini berkurung di bilik masing-masing susulan beberapa kes positif Covid-19 di atas pesawat yang membawa mereka ke Australia.

"Kami sedar ia tempoh sukar dan mencabar kepada atlet yang berkurung dan kami bersama WTA dan ATP akan melakukan apa sahaja untuk membantu," kata pengarah kejohanan, Craig Tiley.

"Perubahan ini menjelang kejohanan dilakukan untuk memberikan 72 pemain lebih masa mempersiapkan diri. Kami juga akan mengutamakan mereka dari segi sesi latihan, gimnasium dan mandi ais."

Ketua eksekutif WTA, Steve Simon berkata: "Ia memberikan kelonggaran kepada atlet kami untuk keluar daripada tempoh kuarantin bagi membolehkan mereka fokus kepada persiapan menghadapi kejohanan."

Sementara itu, satu kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang menjalani kuarantin sebelum Terbuka Australia - Grand Slam pertama tahun ini telah diklasifikasikan semula sebagai negatif.

Terdapat sembilan kes aktif membabitkan 970 pemain dan staf yang berkurung di hotel selama dua minggu di Melbourne dengan hanya pemain Sepanyol, Paula Badosa mendedahkan kepada umum dia salah seorang yang positif Covid-19.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 12:12pm
d