arena

Aaron -Wooi Yik perlu lebih yakin

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik disaran untuk tampil dengan penuh yakin jika mahu menghasilkan keputusan positif pada saingan Jelajah Dunia Akhir yang bermula Rabu ini.

Menurut ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele, selepas tamat dua kejohanan siri Terbuka Thailand, pasangan nombor sembilan dunia itu masih bergelut dengan prestasi tidak menentu.

"Selepas dua kejohanan ini, mental dan prestasi mereka masih belum stabil. Mereka lambat untuk menyesuaikan diri kerana sudah lama tidak beraksi dalam kejohana," kata pengendali kelahiran Indonesia itu.

Ujar Flandy, dalam saingan Jelajah Dunia Akhir ini, Aaron-Wooi Yik harus bermain dengan lebih yakin dan tunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya harap mereka mampu mengawal tekanan yang diberikan pihak lawan.

''Saya harap mereka boleh tampil lebih konsisten selepas ini. Mereka tidak bermain pada tahap prestasi sebenar dalam perlawanan itu. Mereka kurang percaya pada diri sendiri, ini yang perlu diatasi," kata Flandy.

Semalam, Aaron-Wooi Yik terlepas peluang menamatkan penantian muncul juara dalam kejohanan antarabangsa apabila tewas di tangan beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 13-21, 18-21 pada aksi final Toyota Terbuka Thailand.

Sebelum itu mereka tersingkir di pusingan pertama saingan Yonex Terbuka Thailand, minggu lalu. Pasangan negara itu berpeluang untuk menebus kegagalan menamatkan kemarau kejuaraan apabila layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.06 juta).

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Filipina.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 2:44pm
d