arena

Lampard kecewa, Tuchel menanti

Oleh AFP

London: Frank Lampard yang dipecat Chelsea semalam kecewa kerana tidak diberikan lebih masa untuk membawa kejayaan kepada kelab dengan bekas pengendali Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel diijangka mengambil alih tugas di Stamford Bridge.

Lampard mengemudi Chelsea ke tangga keempat Liga Perdana dan final Piala FA pada musim pertamanya sebagai pengurus.

Bagaimanapun, dia gagal menepati jangkaan lebih besar musim ini selepas kelab membelanjakan £220 juta (RM1.21b) bagi mendapatkan pemain baru.

Lima kekalahan dalam lapan aksi terakhir liga menyebabkan Chelsea jatuh ke tangga kesembilan, 11 mata di belakang pendahulu Manchester United.

Kemenangan 3-1 ke atas kelab Liga Kejuaraan, Luton dalam saingan Piala FA tidak mampu menyelamatkan bekas pemain tengah England itu.

"Sangat istimewa dan satu penghormatan mengendalikan Chelsea, kelab yang menjadi sebahagian daripada hidup saya sekian lama," kata Lampard dalam Instagram.

"Saya kecewa tidak diberikan masa mencukupi musim ini untuk membawa kelab maju ke hadapan dan membawanya ke tahap lebih tinggi."

Kelab pula berkata ia keputusan sangat sukar berpisah dengan penjaring terbanyak mereka sepanjang zaman yang meraih tiga gelaran liga dan trofi Liga Juara-Juara sepanjang 13 tahun bergelar pemain di Stamford Bridge.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 7:09am
d