arena

Spurs bergelut atasi Wycombe

Oleh AFP

High Wycombe, United Kingdom: Tottenham terpaksa menunggu sehingga lewat permainan sebelum menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Wycombe 4-1 menerusi tiga jaringan pada empat minit terakhir untuk mara ke pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.

Jose Mourinho tidak menurunkan Harry Kane, Son Heung-min dan Tanguy Ndombele susulan jadual ketat skuadnya berdepan empat kejohanan akan datang.

Tetapi tiga jaringan pada babak kedua diperlukan untuk mengatasi Wycombe yang hanya menang tiga kali dalam 23 perlawanan musim ini.

"Sikap sangat bagus. Pemain yang saya bawa daripada bangku simpanan masuk dengan harapan membawa sesuatu kepada pasukan, jadi keseluruhannya saya fikir ia prestasi berpasukan yang baik dan keputusan bagus, " kata Mourinho kepada BT Sport.

Gareth Bale yang jarang tampil pada musim keduanya di Spurs terlepas tiga peluang terbaik bagi meletakkan pelawat di depan.

Sebaliknya, Tottenham terpaksa bangkit selepas Fred Onyedinma menceriakan skuad tuan rumah menerusi tolakan mudah jarak dekat pada minit ke-25. .

Percubaan Japhet Tanganga dan Moussa Sissoko terkena palang sehinggalah Bale menebus kesilapan selepas terlepas peluang awal dengan menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Tottenham menerima kunjungan Liverpool dalam aksi Liga Perdana, Jumaat ini tetapi Mourinho dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan 13 tahun kelab terpaksa memasukkan Kane, Son dan Ndombele selepas rehat.

Tempoh 30 minit terakhir jelas menjadi milik Spurs yang memecah kebuntuan menerusi rembatan lencung Harry Winks.

Ndombele menjadikan kedudukan 3-1 selepas menolak bola masuk hantaran Heung-min dan kemudiannya melengkapkan kemenangan dengan rembatan jarak dekat pada minit akhir perlawanan.

Spurs akan berdepan Everton dalam saingan 16 terakhir bulan depan.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 7:58am
d