arena

United tepati mentaliti Fernandes

Oleh AFP

London: Bruno Fernandes berkata Manchester United menepati mentalitinya kerana ia 'kelab yang mahu menang semua' dengan dia bakal menyambut ulang tahun pertama bersama pendahulu Liga Perdana itu penghujung minggu ini.

Pemain Portugal berusia 26 tahun itu mengubah nasib skuad Ole Gunnar Solskjaer sejak berpindah dari Sporting Lisbon dengan nilai £67.8 juta (RM374 juta) pada Januari 2020.

Jaringan kemenangannya ketika menewaskan Liverpool 3-2 pada aksi pusingan keempat adalah yang ke-28 bersama United.

"Saya datang ke kelab ini kerana saya tahu saya berpindah ke kelab yang mahu menang apa sahaja dan mentaliti, kehidupan saya dan bola sepak adalah mengenai kemenangan," kata Fernandes.

"Jadi anda perlu yakin, anda perlu percaya rakan sepasukan dan diri sendiri. Saya akan terus percaya sehinggalah ia hilang seperti ketika saya melihat seseorang menjulang trofi sebelum saya, barulah saya hilang kepercayaan.

"Bagi saya, kalah adalah tidak normal, jadi mentaliti saya datang dari situ."

United tewas empat aksi separuh akhir sejak kedatangan Fernandes di Old Trafford dengan yang terbaru kalah kepada Manchester City pada Piala Liga.

Mereka juga gagal meraih gelaran liga sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013 dan trofi terakhir pada 2017.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 8:45am
d