arena

PM bangga kejayaan Nicol

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol David selepas membanggakan negara dengan meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.

"Saya ingin berkongsi rasa bangga bersama seluruh peminat sukan tanah air, khususnya skuasy atas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam. "Kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu sudah menggantung raket.

"Saya berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi. Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

"Dengan iltizam yang betul dan usaha bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Datuk Nicol Ann David. Tahniah Nicol. Syabas Malaysia," kata Muhyiddin.

Nicol meraih anugerah berkenaan selepas mendapat undian sebanyak 318,943, mengetepikan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 10:39am
d