arena

Sharbinee tunggu tawaran sesuai

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli belum terlintas mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak.

Sebaliknya, pemain kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu masih cergas dan mampu untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Saya masih lagi boleh beraksi dan tidak langsung memikirkan untuk bersara biarpun belum lagi menandatangani kontrak bersama pasukan baharu musim ini. Ketika ini, saya masih lagi mencari pasukan untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain.

''Sebelum ini memang ada tawaran yang diterima daripada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana. Namun, atas beberapa faktor saya terpaksa menolaknya dan kini sedang mencari pasukan kerana pendaftaran pemain sehingga Mac depan," katanya.

Seperti pemain lain, Sharbinee tetap menjalani latihan terutama mengekalkan kecergasan untuk memastikan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, sebagai pemain profesional, tahap kecergasan adalah keutamaan jika ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.

"Saya harap sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir, ada pasukan yang berminat dan sebagai pemain, komitmen dan prestasi terbaik akan dipersembahkan. Saya percaya rezeki bermain masih lagi terbuka luas," kata penjaga gol berpengalaman itu.

Musim lalu, Sharbinee beraksi bersama Pahang tetapi kontraknya tidak disambung musim ini.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 3:13pm
d