arena

Nauraj ada peluang ke Olimpik

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Satu permulaan baik buat pemegang rekod kebangsaan acara lompat tinggi, Nauraj Singh dalam memburu tempat ke temasya Olimpik Tokyo selepas mencipta rekod baharu acara dalam dewan.

Bagaimanapun ketika ini seorang lagi wakil negara, Lee Hup Wei menduduki ranking tertinggi iaitu tangga ke-17 dunia yang memungkinkan dia terpilih sekiranya tiada atlet negara layak secara merit.

Begitupun tegas ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil, kedudukan itu mungkin berubah menjelang April ini berikutan lebih banyak kejohanan yang menawarkan mata ke Olimpik akan mula dianjurkan.

"Ketika ini di Eropah musim sejuk dan kebanyakan kejohanan dilangsungkan di dalam dewan. Memang ia turut menawarkan mata ke Olimpik tapi ada perbezaan sedikit.

"Sebab di dalam dewan ini macam dalam acara lompat tinggi, untuk larian atlet tak boleh susun langkah penuh jadi kebanyakan atlet di Eropah akan gunakan kejohanan dalam dewan ini sebagai pemanas badan," katanya.

Malah, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang menunggu jadual penuh pertandingan dan dijangka mula dianjurkan Mac depan.

"Buat masa ini KOM masih lagi menunggu senarai pertandingan dan keputusan daripada pihak berwajib. Selepas bulan Mac mungkin baru boleh merangka kejohanan sama ada tempatan atau luar negara.

"Perancangan untuk atlet itu memang sudah ada mudah-mudahan April ini dapatlah atlet sertai pertandingan di luar atau dalam negara," katanya.

Terdahulu, Nauraj yang juga pemenang pingat emas tiga kali Sukan Sea itu mencipta rekod baharu dalam dewan selepas melepasi ketinggian 2.20m memadamkan rekod lama 2.19m miliknya yang dilakukan di Kejohanan Erdgas Indoors Athletics di Chemnitz, Jerman pada Februari 2019.

Nauraj juga adalah pemegang rekod bagi acara lompat tinggi kebangsaan dengan lompatan 2.30m yang dilakukannya ketika menyertai Kejohanan Terbuka Singapura pada 2017.

Disiarkan pada: February 3, 2021 @ 11:25pm
d