arena

BAM beri amaran keras

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Barisan pemain perseorangan lelaki dan wanita diberi amaran tegas untuk membuktikan kewibawaan masing-masing sekiranya mahu terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ia susulan prestasi mengecewakan sepanjang tiga kejohanan badminton membabitkan acara perseorangan.

"Satu bedah siasat sudah dijalankan selepas tamatnya siri Jelajah Dunia BWF Asia di Bangkok dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) dibentangkan dan dimaklumkan kepada jurulatih dan semua pemain.

"Arahan tegas juga sudah dikeluarkan kepada pemain perseorangan lelaki dan wanita untuk mempamerkan peningkatan prestasi masing-masing. Tan Kian Meng dan Yap Cheng Wen diberi peluang untuk terus bersama BAM namun perlu membuktikan kemampuan mereka," kata BAM dalam satu kenyataan hari ini.

BAM turut mengumumkan pengguguran sembilan pemain daripada skuad kebangsaan.

Beberapa sirkit kejohanan di Eropah selepas ini yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Tokyo akan dijadikan sebagai penilaian terbaharu sebelum satu lagi reviu dilakukan.

Dalam perkembangan sama, BAM turut memaklumkan kenaikan pangkat lapan pemain ke dalam skuad pelapis negara iaitu Wyman Goh, Lee Shun Yang, Shaqeem Eiman (perseorangan lelaki), K Letshanaa (perseorangan wanita), Yap Roy King, Nurfirdaus Azman, Loo Bing Kun dan Lwi Sheng Hao (beregu lelaki).

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 6:59pm
d