arena

Tunda rahmat buat Harimau Malaya

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jika aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda kepada Jun depan, skuad Harimau Malaya boleh dikatakan antara yang bertuah apabila berpeluang membarisi lebih ramai muka baharu bagi menguatkan lagi kesebelasan utama. Penangguhan perlawanan terbabit memberi ruang dan peluang kepada beberapa pemain baharu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya antaranya pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi dan penyerang bawah 19 tahun, Luqman Hakim Shamsuddin.

Malah, jika tiada sebarang masalah berkaitan dokumentasi, penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula akan menyusul sebagai pemain naturalisasi negara pada Mac depan sekali gus berpeluang cerah disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, penundaan perlawanan kelayakan itu sebenarnya memberi kelebihan kepada skuad negara untuk menyenaraikan lebih ramai pemain berkelayakan dan berkebolehan.

Beliau juga mengakui keputusan itu memberi ruang kepada skuad kebangsaan tampil lebih meyakinkan dengan lebih ramai pemain berpeluang bermain untuk pasukan negara terutama yang sudah berstatus naturalisasi.

''Saya akui situasi itu (penundaan) akan beri kelebihan kepada skuad Harimau Malaya untuk mempersiapkan barisan pemain lebih mantap terutama memanggil lebih ramai muka baharu nanti.

"Ada beberapa pemain akan dipanggil nanti terutama yang masih muda untuk menguatkan lagi beberapa posisi skuad Harimau Malaya. Sekarang ini, terpulang kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memilih pemain yang sesuai dan boleh menggalas cabaran itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, berdasarkan jadual asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac diikuti Thailand di Bangkok Jun ini. Begitupun, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi pilihan kepada semua pasukan untuk mencari kata sepakat menunda aksi berkenaan kepada bulan Jun dengan format pertandingan perlu dilangsungkan secara karnival.

Sementara itu Yusoff berkata, situasi berkenaan ketika ini bergantung kepada keputusan AFC sama ada menunda perlawanan terbabit atau kekal pada bulan depan.

"Oleh itu, kita mengharapkan AFC menunda perlawanan berkenaan untuk memberi peluang dan ruang kepada skuad Harimau Malaya tampil lebih bersedia selepas hampir enam bulan tiada sebarang latihan," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2021 @ 11:44pm
d