arena

Pogba cuti sakit, United perit

Oleh AFP

London: Paul Pogba tidak dapat beraksi beberapa minggu selepas berdepan kecederaan paha ketika Manchester United seri 3-3 menentang Everton, menurut Ole Gunnar Solskjaer hari ini.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada akhir babak pertama semalam, hanya beberapa hari selepas dipilih pemain terbaik kelab bulan Januari.

Kehilangan Pogba bakal menyukarkan misi United yang mahu bersaing dengan pendahulu Liga Perdana, Manchester City selain mengharungi Piala FA dan Liga Europa selepas ini.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu kembali berada di kemuncak prestasi tetapi Solskjaer berkata dia tidak mahu menanggung sebarang risiko.

"Kecederaan itu memerlukan beberapa minggu untuk pulih,'' katanya kepada MUTV.

"Dia baru sahaja memulakan proses pemulihan, bekerjasama dengan petugas perubatan dan kami berharap dia kembali secepat yang boleh.

"Sudah tentu, Paul pemain sangat penting kepada kami tetapi kami tidak mahu tanggung risiko, jadi sudah tentu beberapa minggu.''

Perlawanan pertama United tanpa Pogba ialah aksi pusingan kelima Piala FA menentang West Ham pada awal pagi Rabu ini.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 11:45pm
d