arena

Haaland pemain sempurna untuk Liverpool

Oleh Agensi

London: Liverpool digesa bersaing dengan Manchester City dalam perlumbaan mendapatkan superstar Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Bekas bintang Anfield, Glen Johnson berpendapat pemain Norway itu adalah perpindahan sempurna The Reds pada musim panas ini.

Chelsea turut meminati Haaland selain menarik perhatian bekas pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer di Manchester United.

Tetapi City tampak mendahului perlumbaan selepas menawarkan peluang kepada pemain berusia 20 tahun itu beraksi di kelab sama yang pernah diwakili bapanya, Alf Inge.

Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa England, Johnson mendakwa Liverpool perlu menandatangani nama besar seperti Haaland untuk kembali memberi cabaran musim depan.

Ketika ditemuramah bettingexpert.com, dia berkata: "Haaland adalah aset sempurna kepada mana-mana pasukan utama buat masa ini. Dia besar, kuat dan penjaring gol lengkap.

"Dia sangat muda jadi sesiapa yang membelinya boleh menjual semula pada masa depan dengan lumayan dalam tempoh lima tahun lagi. Sangat bagus melihat potensi dimilikinya.''

Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 6:36pm
d