arena

Messi bayar cukai RM1.81 bilion

Oleh Agensi

Barcelona: Lionel Messi didedahkan sebagai pembayar cukai terbesar di Sepanyol sejak empat tahun lalu.

Superstar Barcelona itu membayar sejumlah £324 juta (RM1.81 bilion)sepanjang tempoh itu seperti yang tertera dalam kontraknya yang bocor ke pengetahuan umum.

Messi mengikat kontrak terakhirnya di Nou Camp pada November 2017 yang tamat penghujung musim ini.

Tetapi dengan kontrak lumayan sehingga £492j (RM2.75b) yang juga kontrak terbesar dalam sejarah sukan bermakna bintang Argentina itu perlu turut membayar cukai pendapatan yang tinggi berdasarkan gajinya.

Menurut laporan El Periodico, Messi adalah penyumbang terbesar individu kepada perbendaharaan Sepanyol malah jumlah dibayarnya melebihi banyak syarikat besar.

Daripada pendapatan tahunan £121j (RM676j), £58j (RM324j) difahamkan untuk cukai - hanya kurang 50 peratus. Messi turut meraih bonus sampingan yang lumayan seperti yuran baharui kontrak £120j (RM670j) yang hanya dia perlu menurunkan tandatangan ringkas dan £69j (RM385j) lagi bonus kesetiaan apabila kekal di Barca.

Cukai pendapatan Messi menyamai purata sumbangan 120,000 penduduk Sepanyol yang digabungkan dan dia turut membayar cukai kekayaannya yang lain seperti hasil periklanan dan bisnes lain.

Messi dilaporkan mahu menyaman Barcelona susulan kebocoran dokumen 30 muka surat yang diperolehi akhbar El Mundo tetapi kelab dan bekas presidennya menafikan terbabit dengan pembocoran itu.

Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 11:41pm
d