arena

Pencalonan jawatan selesai - Abdullah

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima borang pencalonan bagi Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 daripada kesemua 20 ahli gabungan yang berakhir petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Datuk Abdullah Said dalam kenyataannya memaklumkan setiap ahli gabungan diminta mencalonkan nama seorang individu bagi jawatan presiden, dua individu bagi jawatan timbalan presiden, empat individu bagi jawatan naib presiden dan 10 individu termasuk dua wanita bagi jawatan ahli jawatankuasa eksekutif atau exco.

Katanya,selepas semakan dibuat, Jawatankuasa Pemilihan FAM berpuas hati dan mengesahkan penerimaan semua nama individu yang telah dicalonkan kesemua 20 ahli gabungan itu.

Namun, itu bukanlah proses terakhir dilakukan apabila nama calon perlu mendapatkan 'lampu hijau' daripada unit Integriti FAM bagi proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

"Selepas tarikh tutup pengesahan penerimaan pencalonan pada 26 Februari, calon yang sudah membalas Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan ditetapkan akan disemak nama mereka sama ada lulus saringan integriti dan status kebankrapan berkenaan atau sebaliknya.

"Seterusnya, calon-calon yang lulus saringan itu akan diumumkan selewat-lewatnya pada Sabtu, 6 Mac dalam senarai rasmi nama calon yang akan dihantar ke semua ahli gabungan FAM.

''Proses pemilihan bagi Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 ini akan diadakan pada Kongres FAM Ke-57 yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 13 Mac depan," katanya. Sebelum itu, Datuk Hamidin Mohd Amin menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM selepas tempoh pencalonan pemilihan Kongres FAM Ke-57 ditutup petang tadi.

Menurut sumber boleh dipercayai, Hamidin tidak dicabar oleh sesiapa dan ini bermakna beliau akan kekal di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi penggal kedua selepas turut menang tanpa bertanding pada edisi lalu.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 5:33pm
d