arena

FAM anjur program kejurulatihan

Oleh Amir Mamat

Melaka: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang menganjurkan beberapa program kejurulatihan bagi memantapkan lagi persembahan pemain bola sepak negara sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, hasrat terbabit terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, antara yang dirancang termasuklah kursus kejurulatihan yang bukan sahaja membabitkan jurulatih kelab bola sepak tempatan, malah untuk jurulatih di peringkat pendidik.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan beberapa bulan lalu dan berharap ia dapat direalisasikan pertengahan tahun ini jika keadaan wabak itu menunjukkan perkembangan positif.

"Banyak perancangan sudah direncanakan untuk tahun ini tetapi semuanya terpaksa ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19, namun saya harap selepas ini apabila industri bola sepak sudah dimulakan, kita dapat mengendalikan beberapa kursus terutamanya membabitkan kejurulatihan bukan sahaja untuk jurulatih tetapi untuk jurulatih pendidik atau pun tenaga pengajar.

"Ini penting bukan sahaja kepada kumpulan jurulatih itu sendiri, malah individu di peringkat akar umbi juga. Justeru, saya berharap semua perancangan itu yang dijangka pada pertengahan tahun ini akan berjalan dengan lancar kelak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pandan Indah, Lorong Pandan di sini hari ini.

Bulan lalu, FAM mengesahkan Kim Swee yang sebelum ini memegang jawatan Penolong Pengarah Teknikal FAM dilantik sebagai pengarah teknikal baharu menggantikan Peter de Roo yang tidak menyambung kontraknya.

Mengulas mengenai aksi Liga Super yang bakal membuka tirai pada 5 Mac depan, Kim Swee yang juga bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan dan Bawah 23 tahun negara, yakin semua pasukan pasti sudah bersedia dengan misi tersendiri serta perancangan taktikal untuk menjuarai liga musim ini.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 5:55pm
d