arena

Bertabahlah Liverpool...

Oleh AFP

London: Liverpool berdepan satu lagi krisis kecederaan selepas pemain tengah Brazil, Fabinho bakal terlepas kunjungan ke Leicester esok.

Fabinho kerap beraksi di pertahanan tengah musim ini selepas Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip mengalami kecederaan panjang.

Pengendali Reds, Jurgen Klopp sekurang-kurangnya tahu buat masa sekarang dia sudah pun mempunyai pengganti di bahagian itu selepas menandatangani Ozan Kabak dan Ben Davies pada hari terakhir jendela perpindahan awal bulan ini.

Kedua-duanya mungkin tampil kali pertama di King Power dalam aksi getir saingan perebutan empat teratas dalam carta Liga Perdana.

Liverpool hanya menang tiga daripada 11 aksi terakhir dalam semua kejohanan, tersingkir daripada Piala FA dan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang juga kurang satu perlawanan dalam tangan.

Keutamaan juara bertahan itu kini ialah memastikan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan. Tetapi Leicester yang menduduki tempat ketiga turut mempunyai hasrat yang sama dan akan meninggalkan Liverpool enam mata di belakang jika menang di tempat sendiri.

Ketangkasan Fabinho di bahagian tengah salah satu faktor utama kejayaan Liverpool menamatkan kemarau 30 tahun gelaran liga musim lalu.

Harapan untuk menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu kembali ke posisi asalnya pada aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig tampak tidak kesampaian.

"Fab tidak dapat beraksi," kata Klopp ketika sidang akhbar hari ini. "Dia mengalami sekali lagi masalah otot, jadi tidak akan dapat ke sana."

Klopp turut mengesahkan penyerang Portugal, Diogo Jota hanya pulih dalam masa dua atau tiga minggu lagi selepas mengalami kecederaan lutut pada Disember lalu.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 9:19pm
d