arena

Khabib impi sarung jersi Real Madrid

Oleh Agensi

London: Khabib Nurmagomedov mendedahkan baru-baru ini dia bercakap dengan Cristiano Ronaldo mengenai impiannya untuk menceburi kerjaya bola sepak profesional.

Ramai mengetahui minat mendalam The Eagle terhadap bola sepak dan Real Madrid. Video dia bermain dengan rakan termasuk Clarence Seedorf di UAE tersebar bulan lalu.

Malah, Khabib turut ditawar kontrak profesional ketika dia mencari peluang baharu selepas bersara daripada seni bela diri campuran.

FC Kamaz yang beraksi di Liga Bolasepak Profesional Russia menawarkan kontrak kepada bekas juara lightweight itu.

Dalam temuramah sebelum ini, Khabib yang dianggap salah seorang terhebat dalam sejarah MMA mendedahkan dia bercakap dengan beberapa pemain bola sepak ternama dunia mengenai hasratnya yang dianggap impian sejak zaman kanak-kanak.

Menurutnya kepada Match TV: "Bermain bola sepak pada tahap profesional adalah impian zaman kanak-kanak. Sudah tentu saya mempunyai impian seperti itu. Bola sepak adalah raja kepada segala sukan.

"Tiada siapa lagi saya belum bincang mengenainya! Saya telah bercakap malah dengan Presiden Uefa Aleskandr Ceferin, pemilik PSG, ya malah dengan Cristiano Ronaldo."

Selepas membantu sepupunya memenangi kejuaraan pertama UFC di Fight Island, Abu Dhabi bulan ini, Khabib berkunjung ke Dubai dan sempat menemui bintang pertahanan Liverpool, Vigril van Dijk yang dalam proses pemulihan rawatan lutut.

Dia juga rakan baik Ronaldo dan pernah berbual mengenai pasukan kegemarannya.

Khabib berkata: "Spartak sudah tentu hebat tetapi itu di peringkat domestik. Kelab impian saya ialah Real Madrid.

"Perlawanan pertama yang saya ingat tonton 90 minit ialah Real menentang Juventus pada final Liga Juara-Juara 1998. Saya ingat lagi Mijatovic menjaringkan gol pada posisi ofsaid tetapi kami tetap menang.''

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 9:59pm
d