arena

Pengulas sukan RTM Johor hilang kaki kiri

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) berkongsi simpati dan kesedihan di atas musibah yang menimpa ahlinya, Fuad Rahim.

Pengulas dan penyampai sukan bebas RTM Johor itu mengalami komplikasi saluran darah tersumbat dan kakinya terpaksa dipotong.

Menurut SAM dalam satu kenyataan, Fuad yang sentiasa bersama RTM dalam program-program siaran langsung atau tertunda temasya Sukan Sea, Sukan Malaysia (Sukma) dan beberapa sukan lain selamat menjalani pembedahan.

"Pembedahan selama sembilan jam semalam dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kaki kirinya terpaksa dipotong akibat 'critical limb ischemia' ( salur darah tersumbat tahap 4 secara tiba-tiba ).

"Bagi menyelamatkan nyawanya, doktor terpaksa membuat keputusan memotong kaki kirinya serta membuat tiga pembedahan menggantikan salur darah di tangan dan kakinya yang tersumbat," kata SAM.

Fuad kini dalam keadaan stabil dan melalui perbualan telefonnya dengan Presiden SAM, Datuk Jasnie Shafie malam tadi, dia dalam keadaan yang baik tetapi masih perlu banyak rehat di atas kesan bius.

"Fuad mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang mendoakan kesihatannya dan buat masa ini masih tidak dibenarkan menerima pelawat di wadnya di HKL. SAM mendoakan agar Fuad segera sembuh dan bertabah menghadapi ujian ini," kata persatuan berkenaan.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 6:07pm
d