arena

PSM tetap tak setuju idea MOM

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk hanya membenarkan atlet di bawah 23 tahun beraksi di Sukan Sea Vietnam tahun ini.

Menurut presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, mereka mengekalkan pendirian berkenaan selepas mendengar MOM bakal mengumumkan satu keputusan bagi menetapkan syarat terbabit dalam mesyuarat yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Ahmad berkata, keputusan itu pastinya dibuat secara drastik serta terburu-buru selain membelakangkan persatuan sukan kebangsaan kerana ada yang tidak bersetuju dengan pendekatan dilakukan meskipun terdapat perbincangan pernah dilangsungkan sebelum ini. Katanya, PSM sudah melakukan beberapa perancangan dan persediaan menggabungkan pemain senior dan junior bagi menghadapi temasya berkenaan namun sekiranya keputusan itu diumumkan MOM, tentunya prospek pingat negara akan tersasar sekali gus merosakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka.

"Semalam, saya panggil satu perbincangan dan pagi ini juga ada lagi perbincangan bagi meneliti secara lebih terperinci (mengenai pengumuman bakal dilakukan MOM). Maka kami tidak buat pandangan ini mengikut selera saya sendiri," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, keputusan mereka tetap tidak bersetuju walaupun MOM belum buat keputusan secara sah.

''Kami tidak bersetuju dengan apa yang nak dilakukan MOM. Hasrat memang baik tapi waktunya tak tepat. Saya tak nampak apa relevannya dan kenapa harus kita hendak terburu-buru waktu ini. Banyak sudah masalah sedang dihadapi sekarang ini, kalau nak ambil dari sudut ekonomi, jadi kenapa nak tambah lagi dengan masalah sukan ini," kata Ahmad pada sidang media hari ini.

Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 6:39pm
d