arena

Bekas pemain Celta Vigo perkasa Sabah FC

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sabah Football Club (FC) hari ini mengumumkan tiga pemain import baharu yang bakal memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Mereka ialah pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani, pemain tengah Gabon, Levy Clement Madinda dan pertahanan daripada Macedonia, Risto Mitrevski.

Perkara itu diumumkan kelab berkenaan dalam laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), hari ini.

Nama Saddil bukanlah asing dalam arena bola sepak negara kerana dia sebelum ini pernah beraksi dengan Pahang pada 2019.

Bagaimanapun, selepas kontraknya tamat pada tahun yang sama, dia kembali ke Indonesia untuk menyertai Bhayangkara FC dan pasukan itu kelab terakhir diwakilinya sebelum menyertai Sabah FC.

Sementara itu, Madinda yang kini berusia 28 tahun sebelum ini pernah beraksi selama tujuh musim bersama kelab Liga Sepanyol, Celta Vigo.

Selepas beraksi di Sepanyol, pemain yang mempunyai ketinggian 1.82 meter itu berpindah pula ke Yunani dan beraksi untuk pasukan Asteros Tripoli.

Lain-lain pasukan yang pernah diwakilinya sebelum menyertai Sabah FC termasuk tiga kelab di Liga Turki iaitu Umraniyespor, Ankara Keçiörengücü SK dan Giresunspor.

Dalam perkembangan sama, barisan pertahanan Sabah bakal diperkuatkan lagi kehadiran Mitrevski yang dijangka akan bergandingan dengan Park Taesu iaitu satu-satunya pemain import yang dikekalkan skuad Badak daripada musim lalu.

Pemain berusia 29 tahun mula mewakili kelab di negaranya iaitu FK Rabotnichki sejak berusia 13 hingga 18 tahun dan seterusnya diserapkan ke dalam skuad utama sekitar 2009 hingga 2011.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.87 meter itu kemudian mengembangkan karier dengan mewakili pasukan ternama di Eropah termasuk di Bosnia, Croatia, Cyprus dan Armenia sekitar 2014 hingga 2020.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 10:27pm
d